PEKERJA sektor kesihatan di Greece akan digantung jika mereka menolak vaksin di bawah dasar mandatori baru yang diumumkan Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis.

Kakitangan di pusat jagaan kanak-kanak akan digantung mulai 16 Ogos sekiranya mereka gagal membuat janji temu vaksinasi, dengan polisi serupa yang akan diikuti pada September untuk pekerja hospital swasta dan kerajaan.

"Vaksinasi segera ke atas pekerja yang menjaga orang tua di rumah jagaan, yang merupakan kategori paling rentan, menjadi wajib.

"Mereka yang tidak ambil suntikan vaksin akan digantung kerja mulai 16 Ogos, kerana tidak mungkin orang yang seharusnya melindungi mereka yang paling berisiko, menjadi pembawa risiko," katanya di Athens pada Isnin.

Bermula Jumaat ini hingga akhir Ogos, semua kawasan komersial tertutup termasuk bar, pawagam dan teater hanya akan boleh dimasuki oleh mereka yang sudah divaksin.

Sekatan baru itu juga akan digunakan di seluruh negara termasuk di Kepulauan Greek dan destinasi pelancongan lain di negara itu.

Jangkitan COVID-19 di Greece meningkat sejak akhir Jun dengan pihak berkuasa menyalahkan pembukaan bar dan restoran serta penyebaran varian Delta yang mengakibatkan peningkatan jangkitan.


Jumlah jangkitan harian bagi setiap 100,000 penduduk meningkat dari 3.5 pada 24 jun ke tahap semasa di atas 17 sebagai purata tujuh hari.

Lebih 40 peratus warganegara dan penduduk negara itu telah divaksinasi sepenuhnya tetapi janji temu vaksin menurun sejak beberapa minggu lalu, mendorong kerajaan meningkatkan tekanan terhadap peragu vaksin.

Mulai Khamis, vaksinasi kanak-kanak di bawah umur 14 tahun dengan persetujuan ibu bapa akan bermula di Greece.